Saturday, 31 October 2020

Pengalaman Pertama Menerajui Sebuah Perpustakaan

 

Waktu mula bekerja di Kolej Yayasan Pelajaran MARA Bangi, pada bulan September 1997, saya baru berpengalaman selama 3 bulan bertugas sebagai Pustakawan. Itu pun hanya pengalaman sebagai Pustakawan Sambilan bergaji hari. Pengalaman tidak banyak.

Melangkah ke KYPM Bangi sebagai Eksekutif Perpustakaan, satu-satunya pustakawan di situ. Lima orang staf yang lain adalah Pembantu Perpustakaan. Empat daripadanya sangat senior dari sudut usia dan pengalaman. Sudah mempunyai empat atau lima anak. Sedangkan saya baru sebulan berkahwin dan baru 3 bulan bekerja.

Awal-awal sudah dipesan, panggil kakak, saya lebih tua. Alhamdulillah yang lelaki tidak menuntut dipanggil abang. Cheh... Tak kuasa. 😁

Secara baik, saya minta untuk memanggil staf yang perempuan dengan nama saja. Dan yang lelaki saya panggil dengan gelaran Encik atau ada masa saya panggil nama saja. Saya jelaskan, sukar bagi saya untuk memberikan arahan jika saya panggil kakak dan abang.

Itu cabaran pertama. Saya tahu staf memerhatikan dan sesekali menguji juga pegawai baharu mereka. Tempat di situ 'hot seat', sering saja bertukar. Saya hanya buat biasa-biasa, sesekali anggap mereka sebagai rakan, sesekali sebagai orang tua yang dirujuk.

Satu cabaran lain bila bertugas di situ adalah bila tiada internet di kawasan perpustakaan dan pejabat. Tiada sistem perpustakaan. Tiada katalog atas talian. Bermaksud masih perlu menyediakan kad katalog. Aduhai... Buku subject Heading merah, hanya ada edisi lama. Buku Library of Congress Classification Scheme juga ada edisi lama.

Untuk mengkatalog bahan, saya salin maklumat-maklumat buku, dan ke Makmal Komputer yang berjarak beberapa blok bangunan dari perpustakaan.

Setelah dapat maklumat katalog, pulang ke pejabat, menghadap komputer dan pencetak dot matriks. Taip satu-satu kad katalog bagi setiap judul. Setiap satu judul, ada kad pengarang, kad judul dan kad subjek.

Semasa belajar di UIA, saya memang suka merujuk ke laci katalog setiap kali mencari bahan di perpustakaan. Jadi, dari sudut susunan kad katalog dan fungsinya, saya sudah faham aturan dan susunannya. Kalau ada dua, tiga subjek, saya buat beberapa kad juga untuk setiap heading.

Memang leceh, tapi itu saja pilihan yang ada dalam keadaan peruntukan yang amat terhad. Alhamdulillah, pembelian buku pun tidak begitu banyak 😅. Rekod buku dituliskan dalam buku besar bersaiz A3 yang saya fikir waktu itu, dimiliki oleh semua perpustakaan.

Untuk memantau kerja staf, saya aturkan mesyuarat bulanan untuk mereka melaporkan kerja-kerja mereka kepada saya dan rakan sekerja. Di peringkat awal, mereka suarakan, "kami ni staf bawah-bawah saja, mana ada laporan-laporan macam pegawai" 😁

Saya jelaskan semula, "cerita saja apa yang awak buat sepanjang bulan, berapa banyak sudah dibuat, ada masalah apa-apa yang boleh kita selesaikan, kalau awak tiba-tiba ada hal, tidak berada di pejabat, bolehlah rakan yang lain membantu".

Alhamdulillah, sesi bulanan berjalan lebih santai. Kalau saya sibuk dan terlupa, mereka pula yang mengingatkan, "Puan, kita belum adakan mesyuarat bulan ini." 😃

Saya aturkan juga program-program di perpustakaan untuk menggalakkan pengguna ke perpustakaan. Program kecil dan besar. Dah terbiasa semasa belajar di UIA, saya suka dengan aktiviti, dan kurang gemar dengan rutin yang sama berlama-lama. Sekali setahun saya anjurkan Sambutan Bulan Membaca, bulan Ogos. Dua tahun terawal, secara kecil-kecilan.

Tahun ketiga saya buat agak besar. Dapat idea daripada rakan-rakan pustakawan dalam Persatuan Pustakawan Malaysia dan rakan yang ditemui semasa berkursus.

Tahun itu kami anjurkan berbagai pertandingan dan program. Saya mohon peruntukan RM500 (lebih kurang) dan selebihnya untuk hadiah-hadiahnya (anggaran lebih RM3000) saya usahakan permohonan sumbangan dari pelbagai syarikat yang saya salin alamatnya daripada barangan di dapur 😂 dan alamat penerbit dalam buku-buku di perpustakaan.

Saya ajarkan staf cara menelefon syarikat (kemahiran yang saya peroleh semasa aktif dengan berbagai aktiviti di UIA). Cara menelefon bagi kali pertama, cara membuat panggilan susulan, dan kemudian mereka menelefon sendiri. Lumayan juga hasilnya, dari BOH, Muslimbest, Nestle, Wiley, McFraw Hill dan beberapa syarikat lain.

Kami juga adakan pameran dan ceramah berkenaan Pendermaan Organ dengan kerjasama Pusat Transplant Negara. Alhamdulillah sambutannya baik, Pengarah dan pihak Ketua Jabatan lain juga hadir.

Salah seorang pustakawan di Malaysian Association for the Blind yang saya temui dalam beberapa kursus kepustakawan, meminta saya usahakan penghasilan Audio Book untuk pelajar di MAB. Khususnya buku-buku agama, kerana ada pelajar Tahfiz yang buta tetapi tiada banyak bahan bertulisan braille.

Alhamdulillah, dengan hanya menggunakan radio kaset biasa dan studio tidak rasmi menggunakan bilik kecil di sebelah bilik saya, pelajar-pelajar Kolej merakamkan bacaan sebanyak 24 buah buku (dalam tempoh lebih kurang 3 bulan), yang kemudiannya diserahkan oleh wakil Pengurusan dari KYPM Pusat kepada pihak MAB semasa Majlis Penutup Sambutan Bulan Membaca tahun itu. Ia projek terakhir saya sebelum meninggalkan KYPM Bangi.

Tahun hadapannya saya di Perpustakaan KUIM, mendapat panggilan telefon daripada salah seorang staf di KYPM, "Puan, kami buat lagi Sambutan Bulan Membaca tahun ni. Puan buat tak?"

Saya gelak saja, keadaan tidak sama, keputusan dan perancangan bukan lagi di tangan saya. Apa pun saya bersyukur dengan kesan kepada apa yang ditinggalkan.