Pulang beraya tahun ini (1440H), sambil menunggu tetamu, saya beritahu mak, salah seorang sepupu saya 'post' mesej dalam grup, dia teringatkan aiskrim mak yang dijual di tepi pagar sekolah semasa kami bersekolah rendah duhulu. Sekitar akhir tahun 70an dan awal tahun 80an.
Rumah kami terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Tambak Paya, jadi di pagar sekolah itulah mak berjualan aiskrim Malaysia. Yang panjang dijual dengan harga 10 sen, yang pendek pula berharga 5 sen. Terasa rindu pula dengan jeritan, "Cik... Nak beli ais krim". Mak akan bawa aiskrim dalam tong aiskrim ke tepi pagar. Bila habis, masuk ke dalam rumah, ambil lagi.
Sebelah petang, sewaktu ke sekolah agama, mak bawa lagi satu atau dua tong ais krim untuk dijual di sekolah agama tempat mak mengajar. Di situ jugalah sekolah agama saya, sejak berumur 8 hingga 12 tahun. Walaupun di Melaka ketika itu sekolah agama hanya bermula semasa berumur 10 tahun. Saya bersekolah tumpang mengikut mak ke Sekolah Rendah Agama Bukit Lintang dan kemudiannya ke Sekolah Rendah Agama Air Molek Al Khairiah.
Di sebelah malam pula biasanya saya akan membantu mak membuat aiskrim lagi untuk bekalan jualan esoknya. Biasanya sehari dalam 200 batang aiskrim akan disediakan. Paling seronok bila di akhir minggu, membantu mak mengira hasil jualan seminggu. Menyusun syiling-syiling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Dicukupkan kiraannya menjadi RM10, dibungkus dalam kertas timas pembungkus teh. Dibalut kemas untuk dibawa ke Tabung Haji pada hati esoknya, hari Sabtu. Waktu itu bank masih dibuka separuh hari pada hari Sabtu. Duit hasil itulah yang mak gunakan untuk pergi menunaikan haji pada tahun 1985.
Lantas pada petang raya pertama yang baru lepas, mak berkisah tentang kehidupan mak satu ketika dulu. Mak dan aiskrim Malaysia. Pada awalnya sekitar tahun 60an, mak tiada peti ais di rumah, jadi mak ambil ais krim di kedai orang. Bawa ke sekolah dengan menggunakan tong cat kerana mak belum ada tong aiskrim yang kedap sejuk. Dibawa berjalan kaki dari Kampung Tambak Paya ke Sekolah Agama Rakyat di Tehel. Sampai di sekolah aiskrim sudah cair, tetapi tetap dibeli kerana masih sejuk.
Kemudiannya mak membeli basikal. Tempoh perjalanan ke Tehel lebih pendek. Ais krim lebih tahan. Mak beli pula peti ais. Jadi, mak boleh menjual ais krim yang dibuat sendiri. Begitulah sehingga telah memiliki kereta, mak boleh membawa lebih banyak ais krim untuk dijual di sekolah agama, selain terus menjual ais krim di tepi pagar sekolah kebangsaan.
Seingat saya, mak masih setia berjualan ais krim Malaysia semasa saya telah belajar di universiti. Dan mak hanya berhenti menjual ais krim di sekolah agama apabila mak bersara pada tahun 1990 dan tidak lagi berjualan di tepi pagar sekolah apabila keluarga kami berpindah ke rumah baharu di Jalan Pendamar, Air Molek pada tahun 1997 beberapa bulan sebelum Majlis Perkahwinan saya.
No comments:
Post a Comment