Saturday, 31 October 2020

Pengalaman Pertama Menerajui Sebuah Perpustakaan

 

Waktu mula bekerja di Kolej Yayasan Pelajaran MARA Bangi, pada bulan September 1997, saya baru berpengalaman selama 3 bulan bertugas sebagai Pustakawan. Itu pun hanya pengalaman sebagai Pustakawan Sambilan bergaji hari. Pengalaman tidak banyak.

Melangkah ke KYPM Bangi sebagai Eksekutif Perpustakaan, satu-satunya pustakawan di situ. Lima orang staf yang lain adalah Pembantu Perpustakaan. Empat daripadanya sangat senior dari sudut usia dan pengalaman. Sudah mempunyai empat atau lima anak. Sedangkan saya baru sebulan berkahwin dan baru 3 bulan bekerja.

Awal-awal sudah dipesan, panggil kakak, saya lebih tua. Alhamdulillah yang lelaki tidak menuntut dipanggil abang. Cheh... Tak kuasa. 😁

Secara baik, saya minta untuk memanggil staf yang perempuan dengan nama saja. Dan yang lelaki saya panggil dengan gelaran Encik atau ada masa saya panggil nama saja. Saya jelaskan, sukar bagi saya untuk memberikan arahan jika saya panggil kakak dan abang.

Itu cabaran pertama. Saya tahu staf memerhatikan dan sesekali menguji juga pegawai baharu mereka. Tempat di situ 'hot seat', sering saja bertukar. Saya hanya buat biasa-biasa, sesekali anggap mereka sebagai rakan, sesekali sebagai orang tua yang dirujuk.

Satu cabaran lain bila bertugas di situ adalah bila tiada internet di kawasan perpustakaan dan pejabat. Tiada sistem perpustakaan. Tiada katalog atas talian. Bermaksud masih perlu menyediakan kad katalog. Aduhai... Buku subject Heading merah, hanya ada edisi lama. Buku Library of Congress Classification Scheme juga ada edisi lama.

Untuk mengkatalog bahan, saya salin maklumat-maklumat buku, dan ke Makmal Komputer yang berjarak beberapa blok bangunan dari perpustakaan.

Setelah dapat maklumat katalog, pulang ke pejabat, menghadap komputer dan pencetak dot matriks. Taip satu-satu kad katalog bagi setiap judul. Setiap satu judul, ada kad pengarang, kad judul dan kad subjek.

Semasa belajar di UIA, saya memang suka merujuk ke laci katalog setiap kali mencari bahan di perpustakaan. Jadi, dari sudut susunan kad katalog dan fungsinya, saya sudah faham aturan dan susunannya. Kalau ada dua, tiga subjek, saya buat beberapa kad juga untuk setiap heading.

Memang leceh, tapi itu saja pilihan yang ada dalam keadaan peruntukan yang amat terhad. Alhamdulillah, pembelian buku pun tidak begitu banyak 😅. Rekod buku dituliskan dalam buku besar bersaiz A3 yang saya fikir waktu itu, dimiliki oleh semua perpustakaan.

Untuk memantau kerja staf, saya aturkan mesyuarat bulanan untuk mereka melaporkan kerja-kerja mereka kepada saya dan rakan sekerja. Di peringkat awal, mereka suarakan, "kami ni staf bawah-bawah saja, mana ada laporan-laporan macam pegawai" 😁

Saya jelaskan semula, "cerita saja apa yang awak buat sepanjang bulan, berapa banyak sudah dibuat, ada masalah apa-apa yang boleh kita selesaikan, kalau awak tiba-tiba ada hal, tidak berada di pejabat, bolehlah rakan yang lain membantu".

Alhamdulillah, sesi bulanan berjalan lebih santai. Kalau saya sibuk dan terlupa, mereka pula yang mengingatkan, "Puan, kita belum adakan mesyuarat bulan ini." 😃

Saya aturkan juga program-program di perpustakaan untuk menggalakkan pengguna ke perpustakaan. Program kecil dan besar. Dah terbiasa semasa belajar di UIA, saya suka dengan aktiviti, dan kurang gemar dengan rutin yang sama berlama-lama. Sekali setahun saya anjurkan Sambutan Bulan Membaca, bulan Ogos. Dua tahun terawal, secara kecil-kecilan.

Tahun ketiga saya buat agak besar. Dapat idea daripada rakan-rakan pustakawan dalam Persatuan Pustakawan Malaysia dan rakan yang ditemui semasa berkursus.

Tahun itu kami anjurkan berbagai pertandingan dan program. Saya mohon peruntukan RM500 (lebih kurang) dan selebihnya untuk hadiah-hadiahnya (anggaran lebih RM3000) saya usahakan permohonan sumbangan dari pelbagai syarikat yang saya salin alamatnya daripada barangan di dapur 😂 dan alamat penerbit dalam buku-buku di perpustakaan.

Saya ajarkan staf cara menelefon syarikat (kemahiran yang saya peroleh semasa aktif dengan berbagai aktiviti di UIA). Cara menelefon bagi kali pertama, cara membuat panggilan susulan, dan kemudian mereka menelefon sendiri. Lumayan juga hasilnya, dari BOH, Muslimbest, Nestle, Wiley, McFraw Hill dan beberapa syarikat lain.

Kami juga adakan pameran dan ceramah berkenaan Pendermaan Organ dengan kerjasama Pusat Transplant Negara. Alhamdulillah sambutannya baik, Pengarah dan pihak Ketua Jabatan lain juga hadir.

Salah seorang pustakawan di Malaysian Association for the Blind yang saya temui dalam beberapa kursus kepustakawan, meminta saya usahakan penghasilan Audio Book untuk pelajar di MAB. Khususnya buku-buku agama, kerana ada pelajar Tahfiz yang buta tetapi tiada banyak bahan bertulisan braille.

Alhamdulillah, dengan hanya menggunakan radio kaset biasa dan studio tidak rasmi menggunakan bilik kecil di sebelah bilik saya, pelajar-pelajar Kolej merakamkan bacaan sebanyak 24 buah buku (dalam tempoh lebih kurang 3 bulan), yang kemudiannya diserahkan oleh wakil Pengurusan dari KYPM Pusat kepada pihak MAB semasa Majlis Penutup Sambutan Bulan Membaca tahun itu. Ia projek terakhir saya sebelum meninggalkan KYPM Bangi.

Tahun hadapannya saya di Perpustakaan KUIM, mendapat panggilan telefon daripada salah seorang staf di KYPM, "Puan, kami buat lagi Sambutan Bulan Membaca tahun ni. Puan buat tak?"

Saya gelak saja, keadaan tidak sama, keputusan dan perancangan bukan lagi di tangan saya. Apa pun saya bersyukur dengan kesan kepada apa yang ditinggalkan.

Sunday, 9 June 2019

Aiskrim Malaysia

Pulang beraya tahun ini (1440H), sambil menunggu tetamu, saya beritahu mak, salah seorang sepupu saya 'post' mesej dalam grup, dia teringatkan aiskrim mak yang dijual di tepi pagar sekolah semasa kami bersekolah rendah duhulu. Sekitar akhir tahun 70an dan awal tahun 80an.

Rumah kami terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Tambak Paya, jadi di pagar sekolah itulah mak berjualan aiskrim Malaysia. Yang panjang dijual dengan harga 10 sen, yang pendek pula berharga 5 sen. Terasa rindu pula dengan jeritan, "Cik... Nak beli ais krim". Mak akan bawa aiskrim dalam tong aiskrim ke tepi pagar. Bila habis, masuk ke dalam rumah, ambil lagi.

Sebelah petang, sewaktu ke sekolah agama, mak bawa lagi satu atau dua tong ais krim untuk dijual di sekolah agama tempat mak mengajar. Di situ jugalah sekolah agama saya, sejak berumur 8 hingga 12 tahun. Walaupun di Melaka ketika itu sekolah agama hanya bermula semasa berumur 10 tahun. Saya bersekolah tumpang mengikut mak ke Sekolah Rendah Agama Bukit Lintang dan kemudiannya ke Sekolah Rendah Agama Air Molek Al Khairiah.

Di sebelah malam pula biasanya saya akan membantu mak membuat aiskrim lagi untuk bekalan jualan esoknya. Biasanya sehari dalam 200 batang aiskrim akan disediakan. Paling seronok bila di akhir minggu, membantu mak mengira hasil jualan seminggu. Menyusun syiling-syiling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Dicukupkan kiraannya menjadi RM10, dibungkus dalam kertas timas pembungkus teh. Dibalut kemas untuk dibawa ke Tabung Haji pada hati esoknya, hari Sabtu. Waktu itu bank masih dibuka separuh hari pada hari Sabtu. Duit hasil itulah yang mak gunakan untuk pergi menunaikan haji pada tahun 1985.

Lantas pada petang raya pertama yang baru lepas, mak berkisah tentang kehidupan mak satu ketika dulu. Mak dan aiskrim Malaysia. Pada awalnya sekitar tahun 60an, mak tiada peti ais di rumah, jadi mak ambil ais krim di kedai orang. Bawa ke sekolah dengan menggunakan tong cat kerana mak belum ada tong aiskrim yang kedap sejuk. Dibawa berjalan kaki dari Kampung Tambak Paya ke Sekolah Agama Rakyat di Tehel. Sampai di sekolah aiskrim sudah cair, tetapi tetap dibeli kerana masih sejuk.

Kemudiannya mak membeli basikal. Tempoh perjalanan ke Tehel lebih pendek. Ais krim lebih tahan. Mak beli pula peti ais. Jadi, mak boleh menjual ais krim yang dibuat sendiri. Begitulah sehingga telah memiliki kereta, mak boleh membawa lebih banyak ais krim untuk dijual di sekolah agama, selain terus menjual ais krim di tepi pagar sekolah kebangsaan.

Seingat saya, mak masih setia berjualan ais krim Malaysia semasa saya telah belajar di universiti. Dan mak hanya berhenti menjual ais krim di sekolah agama apabila mak bersara pada tahun 1990 dan tidak lagi berjualan di tepi pagar sekolah apabila keluarga kami berpindah ke rumah baharu di Jalan Pendamar, Air Molek pada tahun 1997 beberapa bulan sebelum Majlis Perkahwinan saya.

Sunday, 28 October 2018

Puisi singkat





Jika membaca dijadikan amalan
Kelak diri kaya pengetahuan

Jika berbakti dengan cemerlang
Kelak diri dikenang orang

Jika berbudi dijadikan hobi
Kelak diri banyak berbakti

Sunday, 4 October 2015

PERPUSTAKAAN MINI KEJIRANAN

Berita Harian - 2 Mac 2015

Sedikit berita tentang Little Free Library Nilai Impian disentuh dalam petikan akhbar ini.




 Lihat Sisipan


Wednesday, 20 August 2014

Prinsip Magnet Diri

Assalamualaikum.

Ini adalah catatan lama yang disimpan lebih 2 bulan lepas. Hajatnya memang untuk dikongsikan kerana ianya menarik untuk dijadikan amalan ke arah kebaikan.

Catatan daripada program di televisyen pada 29 Jun 2014 (hari pertama umat Islam berpuasa).

Prinsip Magnet Diri oleh Amin Idris

1. Semua orang adalah kawan, tiada musuh walaupun musuh itu sendiri.

2. Semua orang adalah unik, maka kita perlu terokainya dan hargainya.

3. Semua orang suka rasa diterima, dihargai, diiktiraf dan rasa diri wujud.

Tindakan Yang Perlu Diambil

1. Sentiasa bersangka baik dengan semua orang - sebahagian dari bersangka-sangka itu dosa.

2. Cuba cari jalan untuk setuju dengan orang lain walaupun sebenarnya kita tidak bersetuju dengannya. Hargai pendapatnya terlebih dahulu.

3. Cuba teroka apakan nilai unik & kelebihan yang ada dalam diri orang lain, hargainya.

4. Amalkan ucapan terima kasih, sedia meminta maaf dan bersedia memaafkan orang lain.

Mudah-mudahan menjadi motivasi ke arah kebaikan.

Jumpa lagi. Assalamualaikum.

Saturday, 16 August 2014

Salam perkenalan

Assalamualaikum...salam sejahtera.

Salam perkenalan.

Baru berkenalan dengan dunia blog. Pernah punyai blog sebelum ini, tetapi kerana ia dibangunkan oleh anak saya, saya gagal mengakses masuk semula disebabkan terlupa kata laluannya.

Selama ini saya cemburu melihat orang lain mencatat pelbagai perkongsian dalam blog masing-masing.

Selalu saya rasakan keinginan untuk berkongsi idea dengan masyarakat. Untuk menulis dan dihantar ke mana-mana penerbitan, belum tentu akan diterbitkan. Medium ini mungkin yang terbaik untuk menjadi tapak perkongsian apa yang ada di minda.

Mudah-mudahan langkah awal di subuh bening ini diberkati Allah, dan apa yang dititipkan menjadi manfaat buat semua pembaca serta menjadi bekal buat saya di 'sana'. Jadi panduan untuk anak-anak dan semua pembaca.

Sekian dahulu. Harapan menggunung saya, agar langkah ini tidak terhenti di sini. Doakan ya.